Tuesday, May 24, 2011

Karangan STPM 2011...Kaedah Tingkatkan Hubungan Dua Hala Antara Negara Berjiran?

Hubungan luar sesebuah negara amat penting dalam kemajuan negara tersebut.

Jelaskan cara-cara untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala antara negara yang berjiran.

Hubungan luar negara merujuk hubungan diplomatik yang dijalin antara dua buah negara yang berjiran. Antara contoh hubungan luar negara ini melibatkan hubungan Malaysia dengan Singapura dan Thailand serta Brunei. Media massa turut menyiarkan pelbagai ulasan berita yang mengaitkan kepentingan hubungan luar negara sehingga menjadikan sebarang isu politik negara jiran diketahui oleh penduduk negara ini. Jelaslah, ada pelbagai kaedah yang boleh dilaksanakan oleh negara ini bersama-sama negara jirannya untuk meningkatkan hubungan diplomatik itu.

Pertamanya, kerjasama dalam bidang ekonomi boleh dijalankan kerana bidang ekonomilah yang paling mudah untuk dilaksanakan antara mana-mana negara pada era globalisasi ini. Aspek pelaburan asing antara kedua-dua buah negara seperti pelabur Singapura boleh melabur di Malaysia dan pelabur Malaysia pula dibenarkan untuk mewujudkan perniagaan di negara pulau itu. Situasi inilah yang bakal mewujudkan hubungan secara tidak langsung lalu menjadi rapat terutama selepas perniagaan itu berjaya mengaut keuntungan yang tinggi pula. Jadi, kerjasama dalam bidang ekonomi menjadi pemangkin hubungan yang erat antara dua negara berjiran itu.

Selain itu, kerajaan Malaysia dan Thailand boleh melakukan pertukaran maklumat tentang aspek keselamatan terutama yang melibatkan kawasan sempadan bersama. Kita sedia maklum bahawa penjenayah telah menggunakan kawasan sempadan yang panjang antara Malaysia-Thailand untuk menjalankan pelbagai aktiviti jenayah seperti penyeludupan senjata, manusia, dan dadah. Kerjasama untuk berkongsi informasi risikan tentang aktiviti penjenayah ini menjamin kedua-dua pihak berkuasa dari setiap negara boleh menghalang berlakunya kegiatan jenayah di negara masing-masing. Sesungguhnya, keselamatan kawasan sempadan menjadi bukti kukuhnya semangat menghormati antara negara yang berjiran itu.

Pada masa yang sama, usaha untuk merapatkan hubungan antara kedua-dua negara yang berjiran boleh dilakukan dengan menggalakkan kehadiran pelancong dari kedua-dua buah negara yang terbabit. Kehadiran pelancong itu boleh ditingkatkan dengan mengurangkan proses dokumentasi terutama keperluan untuk memperoleh visa hendaklah dihapuskan bersama-sama membenarkan tempoh menetap di sesebuah negara yang lebih panjang pula. Semakin kurang kerenah birokrasi semakin banyaklah pelancong yang akan melawat sesebuah negara lalu mewujudkan satu perasaan memahami budaya masyarakat tempatan pula. Oleh itu, sebarang tindakan yang dilakukan oleh rakyat negara berjiran akan lebih mudah untuk difahami setelah seseorang itu melawat negara tersebut.

Sunday, May 8, 2011

Esei STPM 2011 - Makanan Ringan Bahayakan Kesihatan Kanak-kanak?

Pengambilan makanan ringan secara berlebihan akan memudaratkan kesihatan kanak-kanak. Bincangkan.

Makanan ringan merupakan makanan yang tidak sesuai untuk mengekalkan kesihatan diri seseorang itu terutamanya kanak-kanak. Namun, makanan ini tetap menjadi pilihan kanak-kanak yang hidup dalam kehidupan moden ini. Pelbagai langkah telah dilaksanakan untuk menangani masalah ini seperti mengawal penjualan makanan ringan di sekolah dan menjalankan kempen kesedaran tentang bahayanya makanan ringan ini tetapi masih gagal. Jadi, ada banyak impak negatif yang timbul daripada penjualan makanan ringan ini.

Pertama sekali ialah makanan ringan boleh membawa berlakunya penyakit darah tinggi yang kronik kepada kanak-kanak. Makanan jenis ini memiliki kandungan lemak tepu yang tinggi lalu mampu untuk menjadikan saluran darah menjadi lebih sempit. Saluran darah yang sempit boleh membawa berlakunya tekanan darah tinggi. Jadi, kanak-kanak yang mengambil makanan ringan cenderung untuk memiliki penyakit darah tinggi.

Selain itu, pengambilan makanan ini yang berlebihan akan menyebabkan gangguan kepada kecergasan otak kanak-kanak itu. Kandungan protein dan karbohidrat yang tinggi boleh menjadikan daya tumpuan otak kanak-kanak terjejas dengan ketara. Kita semua sedia maklum usia kanak-kanaklah yang memerlukan tumpuan yang tinggi terutama ketika berada di sekolah pula. Makanan ini juga dipercayai boleh mempengaruhi minda kanak-kanak yang terlalu aktif menjadi lebih teruk lagi.

Kajian sains sudah lama membuktikan bahawa kanak-kanak yang mengambil makanan ringan dikatakan mudah mengalami alahan pula. Pengambilan makanan tidak sihat ini menjadikan tubuh kanak-kanak tidak menerima zat yang sewajarnya lalu mudah sahaja mengalami alahan kerana kekurangan antibodi. Kekurangan daya tahan penyakit boleh menyebabkan kanak-kanak menerima ancaman penyakit dan demam dengan lebih mudah pula. Itu sebabnya kita sering melihat kanak-kanak zaman sekarang begitu mudah menerima pelbagai jenis penyakit berbanding dengan kanak-kanak pada zaman sebelum ini.

Malah, mereka yang gemar mengambil makanan ringan akan mengalami kerencatan pembesaran. Kanak-kanak mudah mengalami obesiti kerana makanan ringan berkolestrol tinggi. Keadaan obesiti ini pula akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami penyakit yang lain pula terutamanya jaunting dan diabetes yang berbahaya itu. Mereka juga akan menjadi tidak aktif kerana sukar untuk melakukan sebarang aktiviti bersukan kerana sudah terlalu gemuk.

Kesimpulannya, kanak-kanak memerlukan keseimbangan dalam pengambilan makanan mereka. Keseimbangan ini penting supaya diri mereka menerima semua zat-zat yang diperlukan oleh tubuh ketika mereka membesar. Kegagalan untuk mengawal tabiat pemakanan ini akan menjadikan kehidupan kanak-kanak itu sengsara pula terutama ketika mereka memasuki alam remaja dan dewasa kelak. Kita hendaklah sedar bahawa masalah makanan ringan ini begitu meruncing dalam kehidupan moden ini.

Sunday, April 24, 2011

Esei STPM: Kesan Rumah Hijau?

Kesan Rumah Hijau?

oleh: Sin Yong

Alam sekitar memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Kini, manusia sedang berusaha untuk membangunkan alam sekitar ini bagi menjaminkan kesejahteraan hidup. Alam sekitar dirujukkan kepada segala komponen yang hidup (biosis) seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan serta yang bukan hidup (abiosis) seperti tanah, bentuk muka bumi, cuaca dan faktor kimia. Alam sekitar merupakan salah satu keseimbangan yang wujud di antara manusia dan organisma dengan alam sekitar dan? keseimbangan ini adalah dinamik, iaitu sentiasa berubah.
Pada zaman globlalisasi ini, populasi manusia kian meningkat pada penghujung kurun ini telah? membawa kepada peningkatan pelbagai masalah kepada alam sekitar. Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan seperti perindustrian dan pembalakan telah mengancamkan alam sekitar. Masalah ini menjadi semakin serius dan telah diikitirafkan sebagai? masalah sedunia dan telah dibincangkan di Sidang Puncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992. Isu-isu yang dibincangkan termasuklah pencemaran.??Aktiviti-aktiviti manusia kini bergantung kepada kemajuan sains dan teknologi serta mementingkan pembangunan ekonomi telah menjadi sebagai punca utama pencemaran. Pencemaran akan mengubahkan persekitaran secara berterusan sehinggalah keseimbangan alam terjejas.
Kesan rumah hijau merupakan salah satu fenomena yang menjadi suhu bumi meningkat menjadi panas. Hal ini bermaksud sinaran ultraungu yang dipancarkan oleh matahari ke bumi, sebahagiannya dipantul ke angkasa lepas manakala yang bakinya dipantul ke dalam unyuk memanaskan bumi. Haba yang sampai ke bumi akan dipantul semula oleh permukaan bumi ke angkasa lepas sebagai sinar inframerah. Tenaga haba ini tidak semestinya dapat ditembusi keluar atmosfera kerana kebanyakkan haba ini akan diserap ole gas-gas yang terperangkap di atmosfera seperti karbon dioksida, karbon monoksida, klorofluorokarbon dan metana. Haba yang terperangkap ini akan meningkatkan suhu permukaan bumi dan memastikan bahawa bumi sentiasa panas. Pertambahan gas-gas yang tercemar seperti oksida nitrogen dan sulfur dioksida juga menyumbang dalam perningkatan suhu permukaan bumi. Pertambahan karbon dioksida disebabkan oleh pembakaran bahan-bahan api fosil seperti arang batu, petrol dan gas asli.
Jikalau kesan rumah hijau ini meningkat secara berterusan dan tidak dikawal bumi graf kesan rumah hijau ini akan mendatangkan pelbagai masalah kepada manusia. Air di lautan dan sungai akan menjadi panas serta lebih mudah tersejat. Bukan itu sahaja, tanah-tanah terutamanya di hemisfera utara dan latitud tengah akan menjadi lebih kering. Arah angin pula akan berubah dan menyebabkan kejadian ribut akan kerap berlaku. Taburan hujan yang tidak seragam akan berlaku sehingga mengakibatkan kemarau dan akibat pemanasan bumi yang tidak sekata. Aras laut akan meningkat dan banjir sedunia akan berlaku disebabkan bongkah-bongkah ais di kutub Utara dan kutub Selatan cair. Kejadian-kejadian ini bukan saja mengancamkan kehipuan manusia malah kehidupan haiwan juga terancam dan aktiviti-aktiviti seperti pertanian, perikanan dan bekalan air akan terganggu. Pertambahan penduduk akan meningkatkan penggunaan tenaga dan permintaan terhadap bahan api fosil dan bekalan tenaga elektrik akan meningkat. Hal ini akan menyebabkan lebih banyak pokok akan detebang kawasan perindustrian semakin banyak akan dibukakan. Semua aktiviti ini akan mengakibatkan penambahan kuantiti gas rumah hijau di atmosfera dan seterusnya suhu bumi akan meningkat.
Penipisan lapisan ozon dibahagikan kepada beberapa bahagian. Ozon merupakan sejenis gas? yang terdiri daripada tiga atom oksigen yang terletak di lapisan stratosfera bumi. Lapisan ozon merupkan? satu perisai semula jadi bumi yang akan memantulkan sinar ultraungu yang berbahaya. Ozon dibentuk apabila molekul oksigen terurai kepada atom oksigen dengan kehadiran sinar ultraungu, atom oksigen bebas ini akan bertindak balas dengan molekul oksigen dan membentuk molekul ozon dengan kehadiran gas nitrogen. Walaupun begitu, ozon boleh terurai kepada molekul oksigen oleh oksida nitrogen yang dibebaskan oleh kapal terbang supersonik atau atom klorin dari sebatian CFC (kluorofluorokarbon). Kluorofluorokarbon atau juga dikenali sebagai freon ini merupakan satu sebatian yang digunakan oleh pendingin hawa dan peti sejuk. Tindak balas antara atom klorin dengan ozon akan mengembalikan? oksida nitrogen dan atom klorin ke atmosfera setelah memusnahkan molekul ozon. Sebab itulah, lapisan ozon semakin nipis.
Pada tahun 1985, kebocoran pada lapisan ozon dikesan di kawasan Antartika, di Artik pada tahun 1987 dan sekarang di Australia pula. CFC bukan sahaja memusnahkan lapisan ozon, malah molekul CFC berupaya menyerap haba 20000 kali ganda lebih baik daripada satu molekul? karbon dioksida. Urbanisasi akan membawa kepada pertambahan penduduk akibat imigrasi penduduk luar bandar ke bandar. Apabila terdapat banyak penduduk, kegiatan-kegiatan ekonomi berkembang, banyak tanah baru? akan dibuka untuk penempatan baru. Pencemaran air, bunyi dan udara boleh nerlaku sekiranya pembinaan dijalankan secara berleluasa. Seterusnya, sekiranya penduduk meningkat, perwujudan kesesakan dan kawasan setinggan berlaku. Hal ini akan menyebabkan keseimbangan ekologi semula jadi akan terganggu apabila jalanraya dan bangunan dibina di kawasan hutan yang dibukakan.
Kesimpulannya, alam semula jadi adalah penting dalam keseimbangan ekologi. Sekiranya ekologi semula jadi terjejas, haiwan serta manusia akan mengalami kepupusan pada masa yang akan datang nanti. Alam sekitar membekalkan keperluan hidup kepada manusia dan haiwan. Ia juga merupakan asas kepada komponen-komponen hidup di seluruh dunia.

Penulis esei ini bekerja sebagai guru di pusat pendidikan swasta.

Tuesday, April 5, 2011

Esei Modal Insan Penting Buat Malaysia

Modal Insan berkualiti merupakan aset pembangunan negara.
Bincangkan.

Pembangunan modal insan bermaksud penumpuan kepada pembangunan sumber manusia yang berkemampuan untuk memberikan pulangan economi. Kita semua sedia maklum bahawa kejayaan sesebuah negara banyak ditentukan oleh kemampuan sumber manusianya. Lihat sahaja Singapura atau Amerika Syarikat serta Jepun yang maju kerana rakyatnya begitu mahir dalam pelbagai bidang. Kewujudan modal insan yang berkualiti boleh membantu negara kita menyelesaikan pelbagai masalah yang melanda negara ini baik daripada sudut ekonomi, politik dan sosial.

Keupayaan modal insan yang berkualiti menjadikan sumber manusia kita menguasai kemahiran ilmu sains dan matematik dengan baik. Penguasaan ini memudahkan negara ini untuk meneroka pelbagai teknologi yang moden terutama penerokaaan angkasa lepas dan penciptaan terkini pula. Aspek Pembangunan dan Penyelidikan akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara kita dengan begitu ketara pula. Kelebihan inilah yang bakal menjadikan imej negara kita lebih terserlah pada mata dunia kelak.

Pada masa yang sama modal insan ini boleh digunakan sebagai sumber tenaga yang baik pula tanpa bergantung harap kepada tenaga kerja negara asing. Majikan lebih suka untuk mengupah pekerja tempatan kerana sedar kualiti pekerja tempatan sama atau lebih baik daripada pekerja asing terutama di sektor teknologi. Kewujudan tenaga kerja tempatan yang cukup dan berkualiti memastikan tiada pekerja asing yang menjamin wang negara kita tidak terkeluar untuk membiayai pembangunan negara luar pula. Pemilikan kerja yang baik menjadikan taraf hidup rakyat menjadi baik kerana ketiadaan pengangguran yang begitu tinggi di Malaysia.

BERMINAT DENGAN ESEI INI? EMEL SAYA SEGERA.

Monday, May 24, 2010

Esei 5: Risiko Penggunan Telefon Selular Dalam Kehidupan Manusia


Esei 5

Penggunaan telefon selular kini begitu penting sehinggakan bukan lagi dianggap suatu barangan mewah, sebaliknya suatu keperluan yang mesti dimiliki oleh semua orang.

Nyatakan risiko penggunaan telefon selular dalam kehidupan seharian manusia.


Penggunaan telefon selular dalam kehidupan masyarakat zaman kini sudah menjadi satu kelaziman pula. Kalau sedekad yang lalu telefon selular dikaitkan dengan ahli perniagaan atau orang yang penting, kini hampir setiap insan di dunia ini memilikinya. Kewujudan teknologi ini telah membolehkan komunikasi dan pengaliran maklumat berlaku dengan begitu pantas dan mudah tanpa mengira kedudukan geografi seseorang itu. Namun, ada kebaikan teknologi ini tersirat pelbagai impak negatif yang boleh menjejaskan kehidupan manusia secara keseluruhannya.

Sudah terbukti bahawa pancaran isyarat telefon selular berupaya untuk menjejaskan sesuatu sistem berasaskan eletronik. Beberapa kejadian yang melibatkan gangguan isyarat telefon ini telah berlaku terhadap sistem kawalan penerbangan, kenderaan, peralatan hospital dan penyimpanan data. Gangguan ini bukan sahaja boleh mengorbankan jiwa tetapi turut menjejaskan kos baik pulih yang tinggi. Justeru, telefon selular boleh menyebabkan berlakunya gangguan isyarat di mana-mana jua.

Selain itu, ada kajian yang berjaya membuktikan bahawa penggunaan telefon selular yang keterlaluan akan menyebabkan kesihatan manusia terganggu seperti berlakunya penyakit kanser dalam otak seseorang itu. Pancaran radiasi isyarat telefon dikatakan berupaya untuk mengubah DNA dan sistem imunisasi manusia sehingga menimbulkan masalah kesihatan pula kepada manusia. Doktor juga sudah memberi amaran agar penggunaan telefon selular dikawal terutama buat ibu-ibu yang sedang hamil. Sesungguhnya, telefon selular boleh menjejaskan kesihatan manusia.

Pada masa yang sama kebergantungan terhadap telefon selular menyebabkan manusia tidak lagi menggunakan mindanya dengan sepenuhnya. Teknologi moden ini berupaya untuk menyimpan pelbagai jenis data dalam kuantiti yang begitu besar sehingga manusia terlalu bergantung kepadanya lalu membuang keperluan menggunakan otak mereka. Kita mudah sahaja menggunakan telefon untuk membuat pengiraan mudah daripada menggunakan otak untuk mengira jumlah. Jika keadaan ini berterusan keupayaan otak akan berkurangan lalu lama kelamaan hilang terus fungsinya.

Tambahan pula, penggunaan terlalu kerap telefon selular menyebabkan manusia itu mengalami proses pemanasan yang keterlaluan. Radiasi yang terhasil menerusi penggunaan telefon menyebabkan sel-sel badan tidak mampu untuk menjalankan fungsi mereka dengan berkesan kerana terlalu panas lalu menyebabkan tanda-tanda kelesuan yang ketara terhadap manusia itu. Bayangkan jika kita menggunakan telefon untuk satu tempoh yang lama dalam hidup kita?

Kesimpulannya, telefon selular masih mempunyai pelbagai impak negatif yang perlu diberi perhatian oleh manusia. Kita perlu memikirkan sahaja penggunaan telefon itu penting dan tidak keterlaluan pula supaya impak buruk itu berupaya dikurangkan. Manusia harus sedar bahawa kehidupan yang terlalu bergantung kepada teknologi tidak berupaya untuk menjadikan diri manusia itu lebih baik terutama daripada aspek fizikal sebaliknya kita perlu meneroka keupayaan minda kita seluas yang mungkin.

Tuesday, April 27, 2010

Karangan 4 ... Pengambilan Gula Menjejaskan Kesihatan Manusia


Karangan 4

Gula sememangnya banyak memberi manfaat kepada manusia. Walau bagaimanapun, pengambilan gula yang berlebihan dapat mengundang pelbagai masalah kesihatan yang kronik kepada manusia. Jelaskan.


Badan kita memang memerlukan gula untuk memastikan semua fungsi badan berjalan dengan lancar. Cuma pengambilan gula secara berlebihan boleh membawa pelbagai masalah kepada seseorang itu terutamanya untuk jangka masa panjang. Mereka yang tidak mengawal pengambilan gula akan menderita penyakit yang kronik lalu mampu menganggu kualiti kehidupan mereka pula.

Sebenarnya gula memang ada manfaat dalam industri makanan dunia. Makanan yang mengandungi gula lebih tahan lama ketika disimpan selain menambahkan lagi rasa manis dan sedapnya. Kita sering menilai nilai sesuatu makanan itu berdasarkan kandungan gulanya sehingga makanan yang pahit tidak digemari tetapi makanan yang bergula dianggap makanan yang menyelerakan. Gula menjadikan cara manusia menikmati makanannya lebih bermakna dan menyelerakan.

Selain itu, gula juga menjadikan ubat-ubat lebih mudah untuk ditelan oleh kanak-kanak kerana gula digunakan untuk menjadikannya manis. Kanak-kanak lebih mudah untuk mengambil sesuatu ubat itu seperti ubat batuk dan vitamin jika manisan digunakan bersama-samanya lalu kesihatan kanak-kanak itu lebih baik. Bayangkan jika gula tidak ada sudah pasti ibu bapa dan doctor mengalami kesukaran untuk memberikan ubat kepada pesakit kanak-kanak mereka? Gula yang dikenali sebagai glukosa juga sering diberikan sebagai bahan untuk memberikan tenaga kepada pesakit.

Namun, gula yang diambil terlalu banyak atau tanpa kawalan berupaya membawa kemudaratan terutamanya menjadikan gigi seseorang itu rosak. Biasanya kandungan makanan yang lebih banyak gula akan menyebabkan gigi mempunyai plak yang lebih baik. Bakteria yang wujud dalam plak itu lama kelamamaan akan menyerang enamel gigi manusia sehingga menjadikannya sakit dan terpaksa dicabut.

Malahan, seseorang yang berterusan mengambil gula berlebihan akan mengakibatkan mengalami penyakit kronik terutamanya diabetes dan sakit jantung. Kencing manis berlaku kerana pancreas manusia gagal untuk mengeluarkan insulin yang mampu untuk menguraikan kandungan gula dalam badan manusia itu. Akibatkan kandungan gula yang berlebihan dalam tubuh akan disimpans ebagai lemak lalu seiring dengan masa slauran darah akan tersumbat menyebabkan aliran darah terganggu dengan teruknya. Seseorang itu akan mengalami serangan sakit jantung akhirnya.

Konklusinya, gula merupakan sejenis perisa manis yang tidak berapa diperlukan oleh manusia kerana manusia masih boleh hidup tanpa mengambil gula berlebihan. Makanan semulajadi manusia sudah mengandungi kandungan gula yang cukup untuk seseorang manusia itu. Lantaran itu, seseorang yang mengambil gula berlebihan pasti akan mengalami masalah kesihatan yang boleh membawa maut pula suatu masa nanti.

Wednesday, February 10, 2010

Karangan 3 ... Manfaat Penerokaan Angkasa Lepas Buat Malaysia



Karangan 3

Penerokaan angkasa lepas telah membuka banyak ruang kepada manusia memperkembang sains dan teknologi sejagat. Huraikan.


Penerokaan angkasa lepas memang banyak memberi manfaat terhadap perkembangan sains dan teknologi. Kejayaan negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat dan Russia banyak bergantung kepada kemampuan mereka untuk menghasilkan teknologi moden terutama yang berkaitan dengan penerokaan angkasa lepas. Keadaan ini menyebabkan negara-negara lain terutama China dan Jepun serta India turut berusaha memajukan teknologi angkasa lepas mereka. Sememangnya banyak impak positif yang dihasilkan oleh penerokaan angkasa lepas terhadap kehidupan manusia.

Impak positif yang ketara ialah penerokaan angkasa lepas telah memajukan bidang teknologi maklumat terutama yang berkaitan dengan teknologi internet. Penghasilan lebih banyak satelit di ruang angkasa bumi telah memudahkan perhubungan atau komunikasi tanpa batasan sempadan diwujudkan. Kemajuan dalam bidang teknologi maklumat ini menjadikan bidang komunikasi, keselamatan dan pertahanan semakin berkembang maju selaras dengan kemajuan penerokaan angkasa lepas itu. Jelaslah, teknologi angkasa lepas menyebabkan bidang teknologi maklumat manusia menjadi lebih baik dan moden.

Malah, aktiviti penerokaan yang berani ini berupaya meninggikan kemampuan teknologi pemantauan manusia sejagat pula. Penggunaan satelit dan kapal angkasa menjadikan gambar-gambar lebih mudah untuk diambil dan dirakam dari sudut yang lebih baik dan sesuai. Semua hasil gambar ini memudahkan ahli saintis untuk membuat ramalan tentang keadaan geografi dan juga membantu merancang manusia untuk menjalankan projek pembangunan dengan lebih mesra alam lagi. Pada masa yang sama, teknologi moden ini boleh digunakan juga untuk memantau perubahan cuaca dan kadar pencemaran alam dengan lebih menyeluruh. Sesungguhnya, teknologi pemantauan manusia menjadi lebih maju dan berkembang dengan adanya usaha-usaha menjalankan penerokaan angkasa lepas itu.

Malahan, industri teknologi robotik turut berkembang selari dengan usaha meneroka angkasa lepas ini. Kebanyakan peralatan teknologi yang dihantar ke angkasa lepas atau kawasan ruang udara bumi dikawal oleh robot atau peranti kawalan. Keadaan ruang angkasa yang begitu bahaya dan sukar diramal menyebabkan robot lebih sesuai digunakan berbanding dengan manusia. Semua tindakan menggunakan robotik ini boleh memberikan satu tafsiran awal akan keperluan untuk mewujudkan koloni manusia di angkasa lepas pula. Maka, teknologi robotik manusia juga akan mengalami perubahan drastik kerana usaha penerokaan angkasa lepas memerlukan penggunaan robotik yang begitu banyak.

Selain itu, pelbagai ujikaji atau kajian sains boleh dijalankan menerusi usaha penerokaan angkasa lepas itu. Para saintis sudah mula membuat kajian tentang kesan gravity terhadap manusia di luar ruang angkasa bumi terutama aspek ketumpatan tulang dan kadar kehilangan jisim tulang manusia. Penerokaan angkasa lepas memberikan satu platform untuk melakukan pelbagai kajian yang boleh memberikan pengetahuan baru kepada manusia tentang sains pula.

Konklusinya, semua usaha meneroka angkasa lepas itu bukanlah sesuatu yang membazir. Pelbagai hasil yang positif terutama kajian sains akan memberikan manusia satu informasi yang berguna pula terutama jika semua usaha ini berkonsepkan kerjasama sejagat. Kita harus sedar bahawa semakin banyak maklumat yang kita ketahui tentang angkasa lepas semakin baiklah prospek kehidupan kita kelak. Jadi, usaha penerokaan angkasa lepas ini perlu diteruskan tanpa sebarang sekatan lagi.