Tuesday, December 29, 2009

Karangan 1 Kepentingan dan Halangan Perniagaan Internet di Malaysia


Karangan 1

Penggunaan teknologi maklumat dalam sektor perdagangan banyak membaca faedah kepada usahawan tempatan.Jelaskan keupayaan teknologi maklumat dalam membantu kegiatan perdagangan negara dan nyatakan halangan-halangan terhadap urusan perdagangan menggunakan teknologi maklumat ini.


Dalam menongkah arus perdana kemodenan ini, internet telah berjaya menjadikannya pelopor dalam sektor perniagaan dan perdagangan yang ulung lagi moden di negara ini. Sudah banyak usahawan di negara ini yang menggunakan internet untuk meningkatkan lagi perniagaan mereka terutama dalam meneroka pasaran luar negara. Tindakan ini telah berjaya mewujudkan pelbagai jenis perniagaan baru yang sebelum ini sukar untuk dibayangkan kewujudannya. Namun, sudah pasti wujudnya pelbagai kelebihan dan halangan dalam menggunakan teknologi moden.

Kelebihan utama menggunakan internet dalam menjalankan urusan perniagaan ialah urus niaga mampu dijalankan dengan lebih cepat dan fleksibel kerana kurangnya aktiviti bersemuka dijalankan. Sudah wujud pelbagai perniagaan seperti RelianceTravel.com dan sebagainya yang menyebabkan pelanggan tidak perlu ke pejabat syarikat atau kedai untuk membeli sesuatu barang atau perkhidmatan itu. Mereka tidak tertakluk kepada aspek masa dan sebagainya kerana perniagaan berasaskan internet dibuka sepanjang masa. Ringkasnya, pelanggan tidak perlu melangkah keluar dari rumah mereka untuk melakukan sebarang urus niaga perniagaan pula.

Selain itu, internet juga baik dalam perniagaan kerana itulah selera atau minat generasi muda kini. Maknanya, perniagaan yang berasaskan internet akan wujud untuk beberapa tahun akan datang lantaran mempunyai kelompok pengguna yang suka melakukan urusan perniagaan dengan menggunakan internet. Kewujudan kelompok pengguna muda yang berfikiran berbeza daripada generasi dahulu menjadikan perniagaan internet sesuatu yang berunsur perniagaan masa hadapan pula. Internet menjadi peneraju atau pemangkin untuk wujudnya lebih banyak peluang perniagaan dalam sesebuah negara itu.

Namun, dalam keghairahan kita melihat internet sebagai satu perniagaan boleh, kita harus sedar tahap kepercayaan atau keyakinan penggunan di negara ini agak rendah berbanding dengan negara lain. Pengguna di negara ini masih bimbang akan kualiti produk yang dibeli selain risau akan ditipu pula. Kesukaran untuk melihat produk kerana hiasan gambar dalam internet mungkin mengelirukan menyebabkan ramai pengguna berasa bimbang. Mereka juga risau untuk membuat bayaran secara terus kerana takut akaun mereka akan disalahgunakan oleh pihak tertentu pula.

Malahan, kelemahan utama sistem internet terutama dalam urusan perniagaan ialah aspek keselamatannya. Kita sering mendengar kejadian “hacker” mencuri masuk ke dalam halaman web sesuatu syarikat lalu mengubah kandungannya yang mencetuskan kerugian kepada syarikat pula. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan imej syarikat tetapi keyakinan pengguna terhadap produk syarikat itu turut berubah dengan mudah. Jika keadaan ini berterusan atau mudah berlaku sudah pasti perniagaan mereka berada dalam risiko yang bahaya.

Justeru, langkah kawalan terutama aspek keselamatan perlu ditingkatkan dalam usaha meninggikan skop perniagaan berasaskan internet ini. Tindakan ini penting supaya keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap perniagaan internet terus bertambah saban tahun. Pada masa yang sama pula, lebih banyak peluang pekerjaan baru berusaha diwujudkan demi kemakmuran rakyat semua.

No comments:

Post a Comment