Monday, May 24, 2010

Esei 5: Risiko Penggunan Telefon Selular Dalam Kehidupan Manusia


Esei 5

Penggunaan telefon selular kini begitu penting sehinggakan bukan lagi dianggap suatu barangan mewah, sebaliknya suatu keperluan yang mesti dimiliki oleh semua orang.

Nyatakan risiko penggunaan telefon selular dalam kehidupan seharian manusia.


Penggunaan telefon selular dalam kehidupan masyarakat zaman kini sudah menjadi satu kelaziman pula. Kalau sedekad yang lalu telefon selular dikaitkan dengan ahli perniagaan atau orang yang penting, kini hampir setiap insan di dunia ini memilikinya. Kewujudan teknologi ini telah membolehkan komunikasi dan pengaliran maklumat berlaku dengan begitu pantas dan mudah tanpa mengira kedudukan geografi seseorang itu. Namun, ada kebaikan teknologi ini tersirat pelbagai impak negatif yang boleh menjejaskan kehidupan manusia secara keseluruhannya.

Sudah terbukti bahawa pancaran isyarat telefon selular berupaya untuk menjejaskan sesuatu sistem berasaskan eletronik. Beberapa kejadian yang melibatkan gangguan isyarat telefon ini telah berlaku terhadap sistem kawalan penerbangan, kenderaan, peralatan hospital dan penyimpanan data. Gangguan ini bukan sahaja boleh mengorbankan jiwa tetapi turut menjejaskan kos baik pulih yang tinggi. Justeru, telefon selular boleh menyebabkan berlakunya gangguan isyarat di mana-mana jua.

Selain itu, ada kajian yang berjaya membuktikan bahawa penggunaan telefon selular yang keterlaluan akan menyebabkan kesihatan manusia terganggu seperti berlakunya penyakit kanser dalam otak seseorang itu. Pancaran radiasi isyarat telefon dikatakan berupaya untuk mengubah DNA dan sistem imunisasi manusia sehingga menimbulkan masalah kesihatan pula kepada manusia. Doktor juga sudah memberi amaran agar penggunaan telefon selular dikawal terutama buat ibu-ibu yang sedang hamil. Sesungguhnya, telefon selular boleh menjejaskan kesihatan manusia.

Pada masa yang sama kebergantungan terhadap telefon selular menyebabkan manusia tidak lagi menggunakan mindanya dengan sepenuhnya. Teknologi moden ini berupaya untuk menyimpan pelbagai jenis data dalam kuantiti yang begitu besar sehingga manusia terlalu bergantung kepadanya lalu membuang keperluan menggunakan otak mereka. Kita mudah sahaja menggunakan telefon untuk membuat pengiraan mudah daripada menggunakan otak untuk mengira jumlah. Jika keadaan ini berterusan keupayaan otak akan berkurangan lalu lama kelamaan hilang terus fungsinya.

Tambahan pula, penggunaan terlalu kerap telefon selular menyebabkan manusia itu mengalami proses pemanasan yang keterlaluan. Radiasi yang terhasil menerusi penggunaan telefon menyebabkan sel-sel badan tidak mampu untuk menjalankan fungsi mereka dengan berkesan kerana terlalu panas lalu menyebabkan tanda-tanda kelesuan yang ketara terhadap manusia itu. Bayangkan jika kita menggunakan telefon untuk satu tempoh yang lama dalam hidup kita?

Kesimpulannya, telefon selular masih mempunyai pelbagai impak negatif yang perlu diberi perhatian oleh manusia. Kita perlu memikirkan sahaja penggunaan telefon itu penting dan tidak keterlaluan pula supaya impak buruk itu berupaya dikurangkan. Manusia harus sedar bahawa kehidupan yang terlalu bergantung kepada teknologi tidak berupaya untuk menjadikan diri manusia itu lebih baik terutama daripada aspek fizikal sebaliknya kita perlu meneroka keupayaan minda kita seluas yang mungkin.

Tuesday, April 27, 2010

Karangan 4 ... Pengambilan Gula Menjejaskan Kesihatan Manusia


Karangan 4

Gula sememangnya banyak memberi manfaat kepada manusia. Walau bagaimanapun, pengambilan gula yang berlebihan dapat mengundang pelbagai masalah kesihatan yang kronik kepada manusia. Jelaskan.


Badan kita memang memerlukan gula untuk memastikan semua fungsi badan berjalan dengan lancar. Cuma pengambilan gula secara berlebihan boleh membawa pelbagai masalah kepada seseorang itu terutamanya untuk jangka masa panjang. Mereka yang tidak mengawal pengambilan gula akan menderita penyakit yang kronik lalu mampu menganggu kualiti kehidupan mereka pula.

Sebenarnya gula memang ada manfaat dalam industri makanan dunia. Makanan yang mengandungi gula lebih tahan lama ketika disimpan selain menambahkan lagi rasa manis dan sedapnya. Kita sering menilai nilai sesuatu makanan itu berdasarkan kandungan gulanya sehingga makanan yang pahit tidak digemari tetapi makanan yang bergula dianggap makanan yang menyelerakan. Gula menjadikan cara manusia menikmati makanannya lebih bermakna dan menyelerakan.

Selain itu, gula juga menjadikan ubat-ubat lebih mudah untuk ditelan oleh kanak-kanak kerana gula digunakan untuk menjadikannya manis. Kanak-kanak lebih mudah untuk mengambil sesuatu ubat itu seperti ubat batuk dan vitamin jika manisan digunakan bersama-samanya lalu kesihatan kanak-kanak itu lebih baik. Bayangkan jika gula tidak ada sudah pasti ibu bapa dan doctor mengalami kesukaran untuk memberikan ubat kepada pesakit kanak-kanak mereka? Gula yang dikenali sebagai glukosa juga sering diberikan sebagai bahan untuk memberikan tenaga kepada pesakit.

Namun, gula yang diambil terlalu banyak atau tanpa kawalan berupaya membawa kemudaratan terutamanya menjadikan gigi seseorang itu rosak. Biasanya kandungan makanan yang lebih banyak gula akan menyebabkan gigi mempunyai plak yang lebih baik. Bakteria yang wujud dalam plak itu lama kelamamaan akan menyerang enamel gigi manusia sehingga menjadikannya sakit dan terpaksa dicabut.

Malahan, seseorang yang berterusan mengambil gula berlebihan akan mengakibatkan mengalami penyakit kronik terutamanya diabetes dan sakit jantung. Kencing manis berlaku kerana pancreas manusia gagal untuk mengeluarkan insulin yang mampu untuk menguraikan kandungan gula dalam badan manusia itu. Akibatkan kandungan gula yang berlebihan dalam tubuh akan disimpans ebagai lemak lalu seiring dengan masa slauran darah akan tersumbat menyebabkan aliran darah terganggu dengan teruknya. Seseorang itu akan mengalami serangan sakit jantung akhirnya.

Konklusinya, gula merupakan sejenis perisa manis yang tidak berapa diperlukan oleh manusia kerana manusia masih boleh hidup tanpa mengambil gula berlebihan. Makanan semulajadi manusia sudah mengandungi kandungan gula yang cukup untuk seseorang manusia itu. Lantaran itu, seseorang yang mengambil gula berlebihan pasti akan mengalami masalah kesihatan yang boleh membawa maut pula suatu masa nanti.

Wednesday, February 10, 2010

Karangan 3 ... Manfaat Penerokaan Angkasa Lepas Buat Malaysia



Karangan 3

Penerokaan angkasa lepas telah membuka banyak ruang kepada manusia memperkembang sains dan teknologi sejagat. Huraikan.


Penerokaan angkasa lepas memang banyak memberi manfaat terhadap perkembangan sains dan teknologi. Kejayaan negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat dan Russia banyak bergantung kepada kemampuan mereka untuk menghasilkan teknologi moden terutama yang berkaitan dengan penerokaan angkasa lepas. Keadaan ini menyebabkan negara-negara lain terutama China dan Jepun serta India turut berusaha memajukan teknologi angkasa lepas mereka. Sememangnya banyak impak positif yang dihasilkan oleh penerokaan angkasa lepas terhadap kehidupan manusia.

Impak positif yang ketara ialah penerokaan angkasa lepas telah memajukan bidang teknologi maklumat terutama yang berkaitan dengan teknologi internet. Penghasilan lebih banyak satelit di ruang angkasa bumi telah memudahkan perhubungan atau komunikasi tanpa batasan sempadan diwujudkan. Kemajuan dalam bidang teknologi maklumat ini menjadikan bidang komunikasi, keselamatan dan pertahanan semakin berkembang maju selaras dengan kemajuan penerokaan angkasa lepas itu. Jelaslah, teknologi angkasa lepas menyebabkan bidang teknologi maklumat manusia menjadi lebih baik dan moden.

Malah, aktiviti penerokaan yang berani ini berupaya meninggikan kemampuan teknologi pemantauan manusia sejagat pula. Penggunaan satelit dan kapal angkasa menjadikan gambar-gambar lebih mudah untuk diambil dan dirakam dari sudut yang lebih baik dan sesuai. Semua hasil gambar ini memudahkan ahli saintis untuk membuat ramalan tentang keadaan geografi dan juga membantu merancang manusia untuk menjalankan projek pembangunan dengan lebih mesra alam lagi. Pada masa yang sama, teknologi moden ini boleh digunakan juga untuk memantau perubahan cuaca dan kadar pencemaran alam dengan lebih menyeluruh. Sesungguhnya, teknologi pemantauan manusia menjadi lebih maju dan berkembang dengan adanya usaha-usaha menjalankan penerokaan angkasa lepas itu.

Malahan, industri teknologi robotik turut berkembang selari dengan usaha meneroka angkasa lepas ini. Kebanyakan peralatan teknologi yang dihantar ke angkasa lepas atau kawasan ruang udara bumi dikawal oleh robot atau peranti kawalan. Keadaan ruang angkasa yang begitu bahaya dan sukar diramal menyebabkan robot lebih sesuai digunakan berbanding dengan manusia. Semua tindakan menggunakan robotik ini boleh memberikan satu tafsiran awal akan keperluan untuk mewujudkan koloni manusia di angkasa lepas pula. Maka, teknologi robotik manusia juga akan mengalami perubahan drastik kerana usaha penerokaan angkasa lepas memerlukan penggunaan robotik yang begitu banyak.

Selain itu, pelbagai ujikaji atau kajian sains boleh dijalankan menerusi usaha penerokaan angkasa lepas itu. Para saintis sudah mula membuat kajian tentang kesan gravity terhadap manusia di luar ruang angkasa bumi terutama aspek ketumpatan tulang dan kadar kehilangan jisim tulang manusia. Penerokaan angkasa lepas memberikan satu platform untuk melakukan pelbagai kajian yang boleh memberikan pengetahuan baru kepada manusia tentang sains pula.

Konklusinya, semua usaha meneroka angkasa lepas itu bukanlah sesuatu yang membazir. Pelbagai hasil yang positif terutama kajian sains akan memberikan manusia satu informasi yang berguna pula terutama jika semua usaha ini berkonsepkan kerjasama sejagat. Kita harus sedar bahawa semakin banyak maklumat yang kita ketahui tentang angkasa lepas semakin baiklah prospek kehidupan kita kelak. Jadi, usaha penerokaan angkasa lepas ini perlu diteruskan tanpa sebarang sekatan lagi.

Sunday, January 17, 2010

Esei 2...Manfaat Pelaksanaan MS ISO di Malaysia?


Karangan 2

Negara kita telah mengaplikasikan standard MS ISO dalam pelbagai bidang untuk kepentingan menentukan piawaian produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Huraikan manfaat daripada pelaksanaan MS ISO tersebut.


MS ISO merupakan satu organisasi yang bertujuan untuk memastikan kualiti sesuatu produk dan perkhidmatan itu mengikut piawaian yang ditetapkan. Piawaian ini mungkin bercorak antarabangsa atau hanya tertakluk kepada keperluan sesebuah negara itu sahaja. Kualiti yang ditetapkan oleh MS ISO sudah mendapat persetujuan seluruh dunia untuk disahkan sebagai ukuran yang tepat dan benar. Oleh itu, banyak kebaikan yang diperoleh dengan wujudnya piawaian sebegini.

Manfaat yang pertama ialah pelanggan akan berasa lebih yakin dan puas apabila membeli sesuatu produk tersebut kerana MS ISO telah mengesahkan kualitinya. Semua produk yang menerima pengesahan ISO seolah-olah memberitahu kepada pengguna bahawa produk itu sudah melalui pemeriksaan kualiti yang ketat untuk memenuhi keperluan tahap yang ditentukan oleh MS ISO. Pengguna tidak perlu berasa risau atau bimbang dengan produk yang dibeli oleh mereka itu apabila mempunyai tanda MS ISO sebegini. Jadi, pengguna akan mempunyai keyakinan dan kepuasan yang lebih apabila membeli produk yang mengandungi pengesahan MS ISO ini.

Tambahan pula, MS ISO berupaya menjadikan aspek pengurusan sesebuah organisasi itu lebih cekap dan efektif menerusi prosedur kerja yang baik. Semua organisasi yang cuba mendapat pengesahan MS ISO perlu mematuhi prosedur yang telah ditetapkan terlebih dahulu untuk memastikan penghasilan produk atau perkhidmatan itu menepati keperluan piawaian yang dikehendaki pengguna. Kemampuan organisasi untuk mematuhi semua prosedur ini dengan baik berupaya menambahkan kualiti dan mengurangkan pembaziran dalam proses penghasilan produk mereka. Ringkasnya, MS ISO menjamin sesuatu proses penghasilan produk berjalan dengan lancar tetapi tidak berlaku sebarang pembaziran pula.

Malahan, kewujudan MS ISO berupaya mencetuskan satu persaingan sihat antara organisasi pula. Sudah pasti semua syarikat atau organisasi akan berubeut-rebut untuk mendapatkan pengiktirafan MS ISO dengan segera. Keadaan ini menyebabkan semua pihak akan berusaha mengekalkan mutu perkhidmatan atau produk mereka dengan baik kerana sedar imej yang diperoleh daripada pengesahan MS ISO begitu baik pada mata pengguna pula. Justeru, persaingan sihat untuk mendapatkan MS ISO ini menyebabkan pengguna mendapat kebaikannya kerana memperoleh perkhidmatan dan produk yang terbaik.

Kelebihan penting mendapat pengiktirafan MS ISO ialah syarikat itu mempunyai program yang sistematik lalu berupaya mencegah pembaziran. Usaha mengawal pembaziran sudah pasti akan berkait rapat dengan tindakan meninggikan lagi kualiti dan proses supaya benar-benar efesien. Semua aspek negative seperti rungutan pengguna, kualiti yang teruk dan pembaziran tidak akan berlaku lagi dalam organisasi yang sudah mendapat pengiktirafan MS ISO ini. Sesungguhnya, aspek pencegahan pembaziran dalam organisasi akan wujud menerusi MS ISO.

Natijahnya, pengiktirafan MS ISO membuktikan betapa pentingnya aspek kualiti dalam mana-mana produk dan perkhidmatan pengguna. Kerjasama semua terutama pihak syarikat memastikan organisasi mereka tidak akan melakukan pembaziran tetapi mampu meninggikan kualiti produk pula. Amalan ini jika diteruskan akan memberikan satu kepuasan tidak terhingga kepada pengguna kerana memperoleh kualiti produk yang baik. MSI ISO juga membuktikan betapa pentingnya satu piawaian dalam kehidupan manusia zaman globalisasi ini.

Thursday, January 7, 2010

E-BUKU 50 ESEI PENGAJIAAN AM TERBAIK STPM 2010 TERBIT 21 JANUARI 2010


Inilah e-buku yang sesuai buat pelajar-pelajar yang bakal mengambil kertas PA tahun ini. Semua esei ini telah ditulis oleh guru-guru yang berpengalaman untuk memastikan kualiti eseinya setaraf dengan keperluan peperiksaan.

Daripada isu mat rempit hinggalah pemanasan global buku ini berupaya untuk menjimatkan masa pelajar yang sibuk menjalani kehidupan persekolahan mereka itu. Bahannya pula disusun dengan sistematik untuk memastikan pelajar memahaminya lalu boleh membuat latihan atau catatan sendiri ketika membuat rujukan peribadi.

Dengan harga RM25, buku ini pasti memenuhi semua keperluan esei PA pelajar. Berminat sila emel kepada saya segera kerana jika buku ini dibeli sebelum 21 Januari, harganya hanya RM15 sahaja.

Cikgu azman