Sunday, January 17, 2010

Esei 2...Manfaat Pelaksanaan MS ISO di Malaysia?


Karangan 2

Negara kita telah mengaplikasikan standard MS ISO dalam pelbagai bidang untuk kepentingan menentukan piawaian produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Huraikan manfaat daripada pelaksanaan MS ISO tersebut.


MS ISO merupakan satu organisasi yang bertujuan untuk memastikan kualiti sesuatu produk dan perkhidmatan itu mengikut piawaian yang ditetapkan. Piawaian ini mungkin bercorak antarabangsa atau hanya tertakluk kepada keperluan sesebuah negara itu sahaja. Kualiti yang ditetapkan oleh MS ISO sudah mendapat persetujuan seluruh dunia untuk disahkan sebagai ukuran yang tepat dan benar. Oleh itu, banyak kebaikan yang diperoleh dengan wujudnya piawaian sebegini.

Manfaat yang pertama ialah pelanggan akan berasa lebih yakin dan puas apabila membeli sesuatu produk tersebut kerana MS ISO telah mengesahkan kualitinya. Semua produk yang menerima pengesahan ISO seolah-olah memberitahu kepada pengguna bahawa produk itu sudah melalui pemeriksaan kualiti yang ketat untuk memenuhi keperluan tahap yang ditentukan oleh MS ISO. Pengguna tidak perlu berasa risau atau bimbang dengan produk yang dibeli oleh mereka itu apabila mempunyai tanda MS ISO sebegini. Jadi, pengguna akan mempunyai keyakinan dan kepuasan yang lebih apabila membeli produk yang mengandungi pengesahan MS ISO ini.

Tambahan pula, MS ISO berupaya menjadikan aspek pengurusan sesebuah organisasi itu lebih cekap dan efektif menerusi prosedur kerja yang baik. Semua organisasi yang cuba mendapat pengesahan MS ISO perlu mematuhi prosedur yang telah ditetapkan terlebih dahulu untuk memastikan penghasilan produk atau perkhidmatan itu menepati keperluan piawaian yang dikehendaki pengguna. Kemampuan organisasi untuk mematuhi semua prosedur ini dengan baik berupaya menambahkan kualiti dan mengurangkan pembaziran dalam proses penghasilan produk mereka. Ringkasnya, MS ISO menjamin sesuatu proses penghasilan produk berjalan dengan lancar tetapi tidak berlaku sebarang pembaziran pula.

Malahan, kewujudan MS ISO berupaya mencetuskan satu persaingan sihat antara organisasi pula. Sudah pasti semua syarikat atau organisasi akan berubeut-rebut untuk mendapatkan pengiktirafan MS ISO dengan segera. Keadaan ini menyebabkan semua pihak akan berusaha mengekalkan mutu perkhidmatan atau produk mereka dengan baik kerana sedar imej yang diperoleh daripada pengesahan MS ISO begitu baik pada mata pengguna pula. Justeru, persaingan sihat untuk mendapatkan MS ISO ini menyebabkan pengguna mendapat kebaikannya kerana memperoleh perkhidmatan dan produk yang terbaik.

Kelebihan penting mendapat pengiktirafan MS ISO ialah syarikat itu mempunyai program yang sistematik lalu berupaya mencegah pembaziran. Usaha mengawal pembaziran sudah pasti akan berkait rapat dengan tindakan meninggikan lagi kualiti dan proses supaya benar-benar efesien. Semua aspek negative seperti rungutan pengguna, kualiti yang teruk dan pembaziran tidak akan berlaku lagi dalam organisasi yang sudah mendapat pengiktirafan MS ISO ini. Sesungguhnya, aspek pencegahan pembaziran dalam organisasi akan wujud menerusi MS ISO.

Natijahnya, pengiktirafan MS ISO membuktikan betapa pentingnya aspek kualiti dalam mana-mana produk dan perkhidmatan pengguna. Kerjasama semua terutama pihak syarikat memastikan organisasi mereka tidak akan melakukan pembaziran tetapi mampu meninggikan kualiti produk pula. Amalan ini jika diteruskan akan memberikan satu kepuasan tidak terhingga kepada pengguna kerana memperoleh kualiti produk yang baik. MSI ISO juga membuktikan betapa pentingnya satu piawaian dalam kehidupan manusia zaman globalisasi ini.

Thursday, January 7, 2010

E-BUKU 50 ESEI PENGAJIAAN AM TERBAIK STPM 2010 TERBIT 21 JANUARI 2010


Inilah e-buku yang sesuai buat pelajar-pelajar yang bakal mengambil kertas PA tahun ini. Semua esei ini telah ditulis oleh guru-guru yang berpengalaman untuk memastikan kualiti eseinya setaraf dengan keperluan peperiksaan.

Daripada isu mat rempit hinggalah pemanasan global buku ini berupaya untuk menjimatkan masa pelajar yang sibuk menjalani kehidupan persekolahan mereka itu. Bahannya pula disusun dengan sistematik untuk memastikan pelajar memahaminya lalu boleh membuat latihan atau catatan sendiri ketika membuat rujukan peribadi.

Dengan harga RM25, buku ini pasti memenuhi semua keperluan esei PA pelajar. Berminat sila emel kepada saya segera kerana jika buku ini dibeli sebelum 21 Januari, harganya hanya RM15 sahaja.

Cikgu azman