Sunday, May 8, 2011

Esei STPM 2011 - Makanan Ringan Bahayakan Kesihatan Kanak-kanak?

Pengambilan makanan ringan secara berlebihan akan memudaratkan kesihatan kanak-kanak. Bincangkan.

Makanan ringan merupakan makanan yang tidak sesuai untuk mengekalkan kesihatan diri seseorang itu terutamanya kanak-kanak. Namun, makanan ini tetap menjadi pilihan kanak-kanak yang hidup dalam kehidupan moden ini. Pelbagai langkah telah dilaksanakan untuk menangani masalah ini seperti mengawal penjualan makanan ringan di sekolah dan menjalankan kempen kesedaran tentang bahayanya makanan ringan ini tetapi masih gagal. Jadi, ada banyak impak negatif yang timbul daripada penjualan makanan ringan ini.

Pertama sekali ialah makanan ringan boleh membawa berlakunya penyakit darah tinggi yang kronik kepada kanak-kanak. Makanan jenis ini memiliki kandungan lemak tepu yang tinggi lalu mampu untuk menjadikan saluran darah menjadi lebih sempit. Saluran darah yang sempit boleh membawa berlakunya tekanan darah tinggi. Jadi, kanak-kanak yang mengambil makanan ringan cenderung untuk memiliki penyakit darah tinggi.

Selain itu, pengambilan makanan ini yang berlebihan akan menyebabkan gangguan kepada kecergasan otak kanak-kanak itu. Kandungan protein dan karbohidrat yang tinggi boleh menjadikan daya tumpuan otak kanak-kanak terjejas dengan ketara. Kita semua sedia maklum usia kanak-kanaklah yang memerlukan tumpuan yang tinggi terutama ketika berada di sekolah pula. Makanan ini juga dipercayai boleh mempengaruhi minda kanak-kanak yang terlalu aktif menjadi lebih teruk lagi.

Kajian sains sudah lama membuktikan bahawa kanak-kanak yang mengambil makanan ringan dikatakan mudah mengalami alahan pula. Pengambilan makanan tidak sihat ini menjadikan tubuh kanak-kanak tidak menerima zat yang sewajarnya lalu mudah sahaja mengalami alahan kerana kekurangan antibodi. Kekurangan daya tahan penyakit boleh menyebabkan kanak-kanak menerima ancaman penyakit dan demam dengan lebih mudah pula. Itu sebabnya kita sering melihat kanak-kanak zaman sekarang begitu mudah menerima pelbagai jenis penyakit berbanding dengan kanak-kanak pada zaman sebelum ini.

Malah, mereka yang gemar mengambil makanan ringan akan mengalami kerencatan pembesaran. Kanak-kanak mudah mengalami obesiti kerana makanan ringan berkolestrol tinggi. Keadaan obesiti ini pula akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami penyakit yang lain pula terutamanya jaunting dan diabetes yang berbahaya itu. Mereka juga akan menjadi tidak aktif kerana sukar untuk melakukan sebarang aktiviti bersukan kerana sudah terlalu gemuk.

Kesimpulannya, kanak-kanak memerlukan keseimbangan dalam pengambilan makanan mereka. Keseimbangan ini penting supaya diri mereka menerima semua zat-zat yang diperlukan oleh tubuh ketika mereka membesar. Kegagalan untuk mengawal tabiat pemakanan ini akan menjadikan kehidupan kanak-kanak itu sengsara pula terutama ketika mereka memasuki alam remaja dan dewasa kelak. Kita hendaklah sedar bahawa masalah makanan ringan ini begitu meruncing dalam kehidupan moden ini.

1 comment: