Tuesday, May 24, 2011

Karangan STPM 2011...Kaedah Tingkatkan Hubungan Dua Hala Antara Negara Berjiran?

Hubungan luar sesebuah negara amat penting dalam kemajuan negara tersebut.

Jelaskan cara-cara untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala antara negara yang berjiran.

Hubungan luar negara merujuk hubungan diplomatik yang dijalin antara dua buah negara yang berjiran. Antara contoh hubungan luar negara ini melibatkan hubungan Malaysia dengan Singapura dan Thailand serta Brunei. Media massa turut menyiarkan pelbagai ulasan berita yang mengaitkan kepentingan hubungan luar negara sehingga menjadikan sebarang isu politik negara jiran diketahui oleh penduduk negara ini. Jelaslah, ada pelbagai kaedah yang boleh dilaksanakan oleh negara ini bersama-sama negara jirannya untuk meningkatkan hubungan diplomatik itu.

Pertamanya, kerjasama dalam bidang ekonomi boleh dijalankan kerana bidang ekonomilah yang paling mudah untuk dilaksanakan antara mana-mana negara pada era globalisasi ini. Aspek pelaburan asing antara kedua-dua buah negara seperti pelabur Singapura boleh melabur di Malaysia dan pelabur Malaysia pula dibenarkan untuk mewujudkan perniagaan di negara pulau itu. Situasi inilah yang bakal mewujudkan hubungan secara tidak langsung lalu menjadi rapat terutama selepas perniagaan itu berjaya mengaut keuntungan yang tinggi pula. Jadi, kerjasama dalam bidang ekonomi menjadi pemangkin hubungan yang erat antara dua negara berjiran itu.

Selain itu, kerajaan Malaysia dan Thailand boleh melakukan pertukaran maklumat tentang aspek keselamatan terutama yang melibatkan kawasan sempadan bersama. Kita sedia maklum bahawa penjenayah telah menggunakan kawasan sempadan yang panjang antara Malaysia-Thailand untuk menjalankan pelbagai aktiviti jenayah seperti penyeludupan senjata, manusia, dan dadah. Kerjasama untuk berkongsi informasi risikan tentang aktiviti penjenayah ini menjamin kedua-dua pihak berkuasa dari setiap negara boleh menghalang berlakunya kegiatan jenayah di negara masing-masing. Sesungguhnya, keselamatan kawasan sempadan menjadi bukti kukuhnya semangat menghormati antara negara yang berjiran itu.

Pada masa yang sama, usaha untuk merapatkan hubungan antara kedua-dua negara yang berjiran boleh dilakukan dengan menggalakkan kehadiran pelancong dari kedua-dua buah negara yang terbabit. Kehadiran pelancong itu boleh ditingkatkan dengan mengurangkan proses dokumentasi terutama keperluan untuk memperoleh visa hendaklah dihapuskan bersama-sama membenarkan tempoh menetap di sesebuah negara yang lebih panjang pula. Semakin kurang kerenah birokrasi semakin banyaklah pelancong yang akan melawat sesebuah negara lalu mewujudkan satu perasaan memahami budaya masyarakat tempatan pula. Oleh itu, sebarang tindakan yang dilakukan oleh rakyat negara berjiran akan lebih mudah untuk difahami setelah seseorang itu melawat negara tersebut.

Sunday, May 8, 2011

Esei STPM 2011 - Makanan Ringan Bahayakan Kesihatan Kanak-kanak?

Pengambilan makanan ringan secara berlebihan akan memudaratkan kesihatan kanak-kanak. Bincangkan.

Makanan ringan merupakan makanan yang tidak sesuai untuk mengekalkan kesihatan diri seseorang itu terutamanya kanak-kanak. Namun, makanan ini tetap menjadi pilihan kanak-kanak yang hidup dalam kehidupan moden ini. Pelbagai langkah telah dilaksanakan untuk menangani masalah ini seperti mengawal penjualan makanan ringan di sekolah dan menjalankan kempen kesedaran tentang bahayanya makanan ringan ini tetapi masih gagal. Jadi, ada banyak impak negatif yang timbul daripada penjualan makanan ringan ini.

Pertama sekali ialah makanan ringan boleh membawa berlakunya penyakit darah tinggi yang kronik kepada kanak-kanak. Makanan jenis ini memiliki kandungan lemak tepu yang tinggi lalu mampu untuk menjadikan saluran darah menjadi lebih sempit. Saluran darah yang sempit boleh membawa berlakunya tekanan darah tinggi. Jadi, kanak-kanak yang mengambil makanan ringan cenderung untuk memiliki penyakit darah tinggi.

Selain itu, pengambilan makanan ini yang berlebihan akan menyebabkan gangguan kepada kecergasan otak kanak-kanak itu. Kandungan protein dan karbohidrat yang tinggi boleh menjadikan daya tumpuan otak kanak-kanak terjejas dengan ketara. Kita semua sedia maklum usia kanak-kanaklah yang memerlukan tumpuan yang tinggi terutama ketika berada di sekolah pula. Makanan ini juga dipercayai boleh mempengaruhi minda kanak-kanak yang terlalu aktif menjadi lebih teruk lagi.

Kajian sains sudah lama membuktikan bahawa kanak-kanak yang mengambil makanan ringan dikatakan mudah mengalami alahan pula. Pengambilan makanan tidak sihat ini menjadikan tubuh kanak-kanak tidak menerima zat yang sewajarnya lalu mudah sahaja mengalami alahan kerana kekurangan antibodi. Kekurangan daya tahan penyakit boleh menyebabkan kanak-kanak menerima ancaman penyakit dan demam dengan lebih mudah pula. Itu sebabnya kita sering melihat kanak-kanak zaman sekarang begitu mudah menerima pelbagai jenis penyakit berbanding dengan kanak-kanak pada zaman sebelum ini.

Malah, mereka yang gemar mengambil makanan ringan akan mengalami kerencatan pembesaran. Kanak-kanak mudah mengalami obesiti kerana makanan ringan berkolestrol tinggi. Keadaan obesiti ini pula akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami penyakit yang lain pula terutamanya jaunting dan diabetes yang berbahaya itu. Mereka juga akan menjadi tidak aktif kerana sukar untuk melakukan sebarang aktiviti bersukan kerana sudah terlalu gemuk.

Kesimpulannya, kanak-kanak memerlukan keseimbangan dalam pengambilan makanan mereka. Keseimbangan ini penting supaya diri mereka menerima semua zat-zat yang diperlukan oleh tubuh ketika mereka membesar. Kegagalan untuk mengawal tabiat pemakanan ini akan menjadikan kehidupan kanak-kanak itu sengsara pula terutama ketika mereka memasuki alam remaja dan dewasa kelak. Kita hendaklah sedar bahawa masalah makanan ringan ini begitu meruncing dalam kehidupan moden ini.